Follow me on:

Instagram

2016-11-10

Tentang rezeki: Sakura di musim luruh.



Leka kami bersiar-siar di dalam kawasan Tokyo Imperial Palace. Luas sungguh kawasan istana lama itu. Selepas duduk berehat dan berpiknik seketika di bawah teduhan pokok, kami berangkat ke pintu keluar. Pintu itu juga yang kami masuk tadi.

Seorang oba-san (makcik) Jepun sedang merenung sesuatu di pokok di sebelah kiri kami. Daunnya tak banyak. Malah sudah hampir 'botak' dan kering dahan dan rantingnya.

Kami mengalih pandangan ke pokok. Memerhati betul-betul. Dari jauh kelihatan seperti ada bunga-bunga kecil. Putih atau mungkin juga merah jambu. Cahaya matahari sedikit menyilaukan mata.

Saya menghampiri bunga di ranting pokok. Dalam hati ada taman. 'Betulkah ini?'

Saya renung tanpa berkata apa-apa. Saya toleh melihat muka oba-san. Beliau tersenyum. Wajahnya yang jelas kagum dan gembira terpancar di dalam senyumannya.

"Sakura desu-yo! Hontou kirei-desu ne! (Bunga Sakura lah! Cantik betul!)," ujarnya tanpa dipinta.

Saya angguk. Kagum. Rasa bertuah dapat melihat sakura lagi. Di luar musim bunga!

Oba-san menyambung ungkapan yang saya tak dapat fahami. Mungkin menyatakan kepelikan bunga yang muncul di musim luruh. Saya pandang, angguk dan senyum saja.

Saya menoleh pada rakan-rakan, "Bunga Sakura ini menanti kalian datang!"

Apa lagi, semua pun sibuk snap gambar. Rezeki yang tidak disangka-sangka. Sungguh, perancangan Tuhan itu yang terbaik! Padahal tadi masuk tak perasan langsung!

Yusraa Ksm
-jom belajar mensyukuri setiap rezeki