Follow me on:

Instagram

2016-10-31

Bila pintu hati diketuk: saya dan Shizuoka Muslim Association

Konbanwa!



Hari ini berpeluang berjumpa Puan Miwa, Ketua Pengurus untuk Shizuoka Muslim Association dan Musolla Shizuoka. Wanita berhati cekal ini mempunyai kisah menarik di dalam liku-liku bergelar saudara baru di awal penghijrahannya.

Tepat jam 10.00 pagi tadi beliau muncul menyapa dari jauh. Dengan senang hati mereka menjemput saya ke musolla yang mereka bangunkan di bandar Shizuoka. Musolla terletak di tingkat empat bangunan kedai Aoi Sky Building.

Ada perkataan Bismillahirrahmanirrahim ditulis di dalam tulisan jawi di papan tanda di tepi jalan. Di bangunan sebelah ada drug store atau farmasi.

Beliau dan suami, Encik Yassine serta beberapa orang di dalam komuniti minoriti Muslim sedang giat berusaha untuk memperkukuh dan mengumpul dana bagi Tabung Masjid Shizuoka.

Harga tanah di Jepun memang sangat mahal. Bayangkanlah kalau sewa satu bilik kecil pun dah mencecah RM3000 sebulan, berapa pula sewa musolla di bangunan itu? Belum bercakap mengenai membina masjid.

Mereka juga ada menganjurkan program-program lain seperti memberi pendekatan tentang Islam melalui lawatan ke sekolah-sekolah. Kebanyakan sumber bantuan mereka perolehi daripada pelajar-pelajar universiti dan komuniti Indonesia di sana.

Tadi, sempat juga menolong 'last touch up' untuk aktiviti menghantar bantuan pakaian ke Syria. Berkotak-kotak banyaknya.

Puan Miwa memang orang Jepun, manakala suami beliau berasal dari Morocco. Banyak yang dibualkan. Paling menarik bila mendengar bagaimana pintu hati Puan Miwa 'diketuk' hidayah dari Tuhan.

Terima kasih kepada mereka yang sudi menghulurkan sumbangan kepada dana tabung membina masjid. Tak kisah berapa jumlahnya, sangat bermakna untuk membina ummah.

Kata Encik Yassine, "Allah pasti janjikan masa yang sesuai. InsyaAllah pasti menjadi kenyataan. Hari itu pasti tiba."

Mari kita sama- sama mendoakan supaya perancangan dan pembinaan masjid di bumi Shizuoka berjalan lancar dan menjadi kenyataan.

Yusraa Ksm
- Pintu hati diketuk kembali ke sini. Lagi. Masih membina impian besar. Satu hari nanti, mungkin atau pasti? Kalian rasa?


2016-10-26

Transit: On the way to Narita Airport.

Gambar tiada kena mengena.


Penerbangan ke DMK, Bangkok hanya mengambil masa dua jam. Kami tiba jam 6.00 petang waktu tempatan. (Waktu Bangkok lewat satu jam.)

"Masih awal." Itu kata kami.

Penerbangan seterusnya ialah pada jam 11.45 malam. Ada banyak masa lagi. Di ruang transit di dalam, kami keliru kerana diberitahu perlu keluar sebab tiada boarding pass. Keluar ke kaunter check- in, kemudian masuk lagi. Apakah?

Keluar bermaksud perlu beratur dan cop passport. Setelah selesai, kami berjalan- jalan mencari kedai makan halal yang diceritakan di dalam carian blog. Hampa. Tak jumpa langsung kedai makan halal. Kami putuskan untuk makan kentang goreng dan pineapple tart saja di McD di tingkat atas.

Pusing bukan main lama lagi cari kedai makan yang tak wujud. Orang putih kata, "Taking our own sweet time." Gitu. Bila dah siap makan, kami cuma ada 1 jam 45 minit sahaja untuk check- in.

Kami bergegas turun ke kaunter check- in. Kaunter yang tiga jam setengah tadi belum buka. Tadi, hanya ada enam orang duduk di lantai, menunggu. Tadi, kami lalu buat tak tahu. Itu tadi...

Sekarang, kami sangat terkejut bila kawasan untuk check- in AirAsia sesak. Dia punya beratur dah berapa kali lipat. Semua yang naik AirAsia ke semua destinasi berkumpul untuk check-in di tempat yang sama. Kalian bayangkanlah.

Haha. Tak gelabah? Masa yang tinggal berapa lama saja. Rasa macam tak sempat kalau beratur macam tu punya gaya.

Tapi, saya beratur juga. Pergerakan ke depan sangat lambat. Nora tinggalkan saya dan bergegas ke hadapan.

"Cari mana- mana kaunter untuk bantuan segera," katanya.

Selang sepuluh minit, Nora datang lagi. (Eh, itu macam iklan Tora datang lagi!) Haha.

Nora datang ke arah saya, memberitahu, "Yus, jom kita pergi ke depan. Di situ boleh check-in."

Ok, harapan dah ada. Tapi sekejap kemudian muka dia berubah risau. "Tapi beg kita ni macam mana?"

'Ah... sudah. Beg!' Masing- masing memang tak beli langsung check- in luggage. Hajat hati nak tambah di DMK. Tapi, ingat tak tadi kami mengalami masalah online check-in? Kami sekarang memang zero harapan untuk beli had check-in luggage.

Beg yang saya bawa, saya agak-agak beratnya dalam 10 kg memang ada. Bawa apa yang berat sangat entah? Haha. Beg Nora, ringan sedikit dari saya.

Hajat hati nak sorok satu beg tak kesampaian. Hahaha. Makanya, salah seorang perlu bayar lebihan had beg dengan harga 120 Baht sekilo. Kalian kiralah sendiri kalau kena bayar 14 kg.

Encik di kaunter check-in mempamerkan muka 'senyum kasihan'. Sempat lagi bagi nasihat, "Lain kali kamu boleh tambah extra-luggage sewaktu online check-in. Jauh lebih murah..."

Kami hanya mengangguk pasrah. Dah tahu pun. Bayar sajalah...! Segera angkat kaki, berjalan laju menuju pintu perlepasan.

Jadi, berbaloikah transit kali ini? Kalau namanya pengalaman, tiada tanda harga. Bukan rezeki kami pada beg terlebih muatan, rupanya Tuhan nak bagi rezeki pada pengalaman lain. Lain kali jangan buat lagi. Haha.

Dan rezeki kalian dapat baca cerita yang entah apa-apa ini. Hahaha.

Terima kasih sudi baca.

Sekian,

Yang benar,
Padan muka aku. Haha

Transit: Boarding pass punya pasal...

Sumber gambar: http://asia-airports.com/thailand/dmk/


Pesawat AK892 dijadualkan berlepas jam 5.00 petang. Seperti biasa, saya akan buat web check- in terlebih dahulu. Hairan pula bila tak boleh buka online 'boarding pass'. Status error kelihatan di skrin. Pergi ke kiosk juga tidak membuahkan hasil.

Maka terpaksalah kami beratur di kaunter. Tiba giliran kami, encik staf di kaunter bertanya, "Sudah check- in?"

Kami jawab, "Sudah, tapi ada masalah. Tak boleh display boarding pass."

Memang dari KLIA2- DMK sudah check- in. Tapi dari DMK- Narita tiada status. Saya tiada pengalaman transit dengan AirAsia langsung. Apakah ada butang rahsia yang perlu saya tekan? Adoi.

-->> Butang rahsia AirAsia, bukanlah rahsia pun. Namanya Fly-Thru. Kalian boleh bertanya kepada Lil' Miss Red di laman web AirAsiaX tentang penggunaan ini.

****
Pada waktu kejadian, rasanya tak ada pilihan Fly-Thru. Mengapa dan kenapa saya kurang pasti. Apakah ada kaitan dengan re-route? Saya kurang periksa pula di situ. Perihal nak membeli makanan pun tak boleh guna mobile apps. Tak wujud DMK- Narita. Kena buka desktop site baru boleh tambah.

Sambung cerita, staf tadi dengan baik hatinya mencetak boarding pass untuk kami, tapi setakat sampai DMK sahaja. Lalu saya bertanya, "Boarding pass DMK-Narita tak boleh print terus ke?"

Dia geleng kepala. "Nanti di sana," ujarnya ringkas.

Kami pun angkat beg selepas ucapkan terima kasih dan beredar masuk ke dewan perlepasan. Dengan harapan tiada masalah di Bangkok nanti...

***

Bersambung lagi di post seterusnya. Haha

Transit: berbaloikah percaturan?

Gambar sekadar hiasan dan tiada kena mengena dengan cerita.


Ini satu cerita babak pertama menggunakan transit route ke Jepun.

Asalnya, tiada istilah transit di dalam perjalanan ini. Tiket kapal terbang dibeli 11 bulan sebelum trip, dengan harga RM500+ sahaja, return, menggunakan penerbangan AirAsiaX, KUL - Narita - KUL.

Tiket ini dibeli semasa promosi. Di tengah-tengah malam, dengan gigih saya mencari dan main bedal saja, saya meletakkan tarikh yang bajet- bajet dapat tengok bunga Sakura.

Destinasi cadangan: Tokyo + Osaka.
Jumlah hari: Sepuluh.

Nak jadi cerita, tak sampai tiga bulan selepas tu, heboh di dalam grup FB BBM (backpackers buddies Malaysia), bahawa AirAsiaX tutup route ke Narita.

Ah... sudah, betul ke?

Saya dapat emel mengatakan penerbangan ditukarkan ke Haneda.

AirAsiaX memaklumkan kami diberi tiga pilihan:
1) Menukar destinasi ke Haneda.
2) Mengekalkan trip ke Narita, dengan transit di DMK, Bangkok.
3) Tukar kepada credit points.

Saya memilih untuk mengekalkan destinasi ketibaan di Narita, dan perjalanan balik dari Haneda, atas sebab- sebab berikut:

✔ Waktu ketibaan di Narita adalah awal pagi, sangat sesuai untuk meneruskan perjalanan.

✔ Perjalanan balik dari Haneda adalah di tengah malam, jadi ada masa satu hari suntuk untuk berjalan- jalan.

Jadi, saya perlu tukar kembali laluan yang telah AirAsiaX 'default'-kan ke Haneda. Tiga kali percubaan menggunakan talian 'hotline' gagal. Faham sajalah hotline dengan iklan yang banyak dan waktu menunggu yang lama, menghabiskan duit sekelip mata di situ. Fuh!

Geram, saya putuskan untuk pergi ke Customer Service Centre AirAsia yang terletak berhadapan bangunan Times Square. Dengan bantuan staf mereka, akhirnya, berjaya! Pertukaran dengan peringatan jelas, muktamad, dan tiada pertukaran lagi dibenarkan selepas itu.

Dugaan pertama, bila adik saya menyatakan semester baru akan bermula pada tarikh trip, jadi tiket miliknya terpaksa saya tukarkan kepada credit points.

** Credit points: jumlah points sama dengan harga tiket yang dibeli. Boleh digunakan untuk membeli tiket lain dalam masa 180 hari selepas dapat credit points di dalam akaun AirAsia peribadi. Sekiranya tidak digunakan selepas 180 hari, akan lupus secara automatik.

Adakah ini bermakna saya akan merantau seorang diri? Rupanya Tuhan hantar seorang kawan baru dari BBM sebagai teman kembara.

Maka bermulalah episod kembara kami dengan babak kedua, seterusnya, dengan masalah lain pula semasa check- in di KLIA2.

Bertabahlah...!

 Yusraa Ksm
* acah- acah kembara solo, tak jadi.

2016-10-04

13 info berkaitan tren di Tokyo yang mungkin memberi manfaat kepada anda.



Anda sedang merancang untuk ke Tokyo? Berikut merupakan info yang mungkin berguna untuk persediaan anda.

- 13 info berkaitan tren di Tokyo yang mungkin boleh memberi manfaat kepada anda. -

1) Anda pasti tidak mahu terperangkap di dalam kepadatan manusia di stesen dan juga di dalam tren. Elakkan menaiki tren di waktu 'rush hour': 7.30 -9.30 pagi dan 5.30 petang - 7.30 malam.

2) Tokyo subway terbahagi kepada dua:
✔ 9 Tokyo Metro lines
✔ 4 Toei Subway lines

Ada pass berbeza yang boleh anda beli dan gunakan untuk salah satu atau kedua-dua trek.

3) Bagi memudahkan perjalanan anda, sila ingat warna dan nombor line tren. Setiap stesen dilabel menggunakan kedua-dua kriteria tersebut.

Contoh: Stesen Toei Asakusa berwarna merah jambu, bernombor A18.

4) Selain Tokyo subway, ada lapan 'railway track' dari syarikat swasta dan JR line (japan railway) di dalam Tokyo. Memang peta tren yang padat dan berselirat boleh membuatkan anda pening kepala.

5) Jika tidak menggunakan pass, anda boleh membeli kad topup yang disebut IC card yang berfungsi seperti kad Touch n Go. Terdapat lapan jenis kad IC selain Pasmo dan Suica.

Deposit 500 yen diperlukan untuk membeli kad IC. Kad Suica boleh dibeli di stesen JR, dan kd Pasmo boleh dibeli di stesen selain JR.

Anda akan memperolehi diskaun jika menggunakan kad IC di dalam 'Central Tokyo', berbanding membeli tiket sehala biasa.

6) Kenal pasti pintu keluar anda. Ini penting kerana kebanyakan stesen ada banyak pintu keluar yang boleh mengelirukan. Exit selalunya dilabel sebagai East, North, South dan West.

7) Bila berada di stesen yang mempunyai banyak line (Metro, Subway, JR dan sebagainya), pastikan anda berdiri dan beratur di dalam petak garisan warna yang betul.

Perhatikan terdapat label color-coding di belakang garisan kuning di lantai yang menunjukkan di mana pintu tren. Jika naik shinkansen, atau limited express, akan ada nombor gerabak dilabelkan. Di situ anda mula beratur.

8) Disiplin orang Jepun: Beratur di dalam barisan semasa menunggu tren. Mereka akan menunggu sehingga orang keluar dari tren sebelum melangkah masuk.

9) Di dalam tren, biasanya orang-orang Jepun tidak menghiraukan orang lain. Mereka lebih suka buat hal sendiri, seperti main games, dengar muzik atau membaca. Bercakap menggunakan telefon bimbit di dalam tren adalah dilarang sama sekali, kecuali di pintu masuk Shinkansen dan Limited Ekspress.

10) Undang-undang penggunaan eskalator: Berdiri selang satu 'step' dari orang di hadapan anda.

Peraturan ini diperkenalkan setelah insiden yang berlaku pada bulan Ogos 2008 yang mencederakan 10 orang.

Selepas Ogos 2015, Jepun menggubal peraturan di mana pengguna adalah dilarang melangkah naik atau turun eskalator. Ia bertujuan mengelak dan mengurangkan kecederaan.

Ironinya, anda boleh lihat di Tokyo, ramai yang akan berdiri di sisi kiri eskalator untuk memberi laluan kepada mereka yang sedang mengejar masa untuk melangkah naik atau turun.

Jika di Osaka pula, laluan di sebelah kiri biasanya dikosongkan.

11) Caj tiket tren:
✔ Harga penuh untuk dewasa.
✔ Separuh harga untuk 6 - 11 tahun. Atau kanak-kanak 12 tahun yang masih belajar di sekolah rendah.
✔ Percuma untuk bawah 6 tahun.

Baca: Dua orang kanak-kanak berusia 1- 5 tahun tidak dikenakan caj. Mereka perlu diiringi oleh orang dewasa. Kanak-kanak ke-3 yang dibawa oleh seorang dewasa akan dikenakan caj separuh harga tiket (caj kanak-kanak).

Mana-mana kanak-kanak bawah 6 tahun yang menggunakan 'reserved seat' perlu membayar harga tiket separuh.

12) Jika membawa 'stroller' menaiki tren atau bas, anda dikehendaki melipat stroller tersebut. Roda stroller perlu dikunci supaya tidak bergerak dan terkena kaki pengguna lain.

Elakkan 'kake-komi' (naik tren secara tergesa-gesa) jika berjalan dengan anak kecil.

13) Anda digalakkan menggunakan aplikasi Tokyosubway bagi memudahkan perjalanan di Tokyo.

Semoga info yang dikongsikan ini dapat membantu anda memahami situasi menggunakan tren di bandar metropolitan Tokyo, yang semuanya serba laju.

Jom ke Tokyo!