Sarangheyo~ Seoul, Korea 2010

Teruja bila berpeluang menjejakkan kaki ke bandaraya Seoul, Korea. Maka bermulalah episod 7 hari 6 malam di Seoul bersama rakan-rakan sekerja. Sambil menyelam minum air!
                                   

Pertama kali menaiki pesawat Korean Air, saya rasa boleh tahan juga pesawat ini. Antara yang menarik ialah bilik air yang kecil tetapi sangat lengkap dengan berus gigi individu, ubat gigi dan juga losyen tangan. 

Makanan pula dihidangkan dua kali; sekali pada waktu malam dan sekali lagi sarapan pagi. Dari KLIA menuju ke Incheon Airport, penerbangan mengambil masa 6.5 jam. 

Setibanya kami di Incheon Airport, cuaca terasa sangatlah sejuk! Tambahan lagi ketika itu hujan turun membasahi bumi Incheon. 

Jam menunjukkan pukul 7 pagi, maka bermulalah perjalanan menempuh trafik yang hebat di kala orang berebut hendak ke pejabat. Kami menaiki van meredahi trafik yang mengambil masa dua jam untuk sampai ke bandar Seoul! Lebih menjimatkan masa jika menaiki tren.

Di Seoul, kami menginap di Hotel Renaissance, di bandar Gangnam, Seoul. Lokasi hotel di kawasan yang strategik, sangat berdekatan dengan stesen tren bawah tanah. Hanya perlu berjalan kaki 10 minit.


1. OlympicPark

Di sini terdapat banyak bunga dan ruang untuk berkelah. Pusat Taekwando terletak tidak jauh dari Olympic Park, sesuai untuk mereka yang berminat untuk meninjau tempat latihan Taekwando atau nak cari barangan Taekwando.





Alhamdulillah rezeki kami dapat melihat dan bergambar bersama bunga sakura di dalam taman. Bunga sakura yang menjadi rebutan ramai di kala musim bunga di Jepun.


2. Namdaemun Market  dan Myeongdong

Di sini ada dijual barang-barang cenderahati, pakaian, keronsang, makanan dan sebagainya. Agak murah dan boleh tawar-menawar jika pandai mencari. 

Terdapat juga orang Korea yang mahir bertutur di dalam Bahasa Indonesia. Rata-rata mereka ini dahulunya pernah menetap lama di Indonesia atas urusan bisnes.


Di Korea terdapat banyak tokong ataupun istana lama. Salah satu daripadanya ialah istana lama Gyeongbokgung yang kami lawati ini. Jika berkesempatan boleh sahaja masuk dan meninjau keadaan istana lama ini.




Satu perkara yang menarik perhatian di bandar Seoul ini ialah mengenai kebersihan kawasan persekitarannya. 

Dalam gambar di bawah ini boleh dilihat terdapat parit besar yang sangat bersih di mana air yang mengalir juga jernih sehingga adakalanya ia menjadi tumpuan orang ramai singgah untuk berpiknik. 

Dengar khabarnya kerajaan Korea telah mengeluarkan bajet yang besar untuk membersihkan dan mencantikkan parit ini yang dahulunya sangat kotor. 


Jika berminat untuk membeli-belah, mungkin kawasan Myeongdong  boleh dijadikan pilihan. Di sini terdapat butik-butik butik-butik pakaian yang cantik, cuma mungkin sesetengahnya diletakkan pada harga yang agak mahal. 

Mereka yang ingin mencari baju tradisional Korea atau dipanggil Hanbok, bolehlah meninjau di sini. Kain dan kualitinya cantik, sesuai dengan harganya. Kalau inginkan kelainan yang lebih kasual dan harga yang lebih murah, boleh didapati di kedai bawah tanah di stesen tren. Set cadar yang cantik dan menarik turut dijual di situ.



3. Itaewon

Waktu saya ke Seoul, tempat makanan Halal tidak banyak dan hanya tertumpu di Itaewon. Kebanyakan makanan halal adalah masakan daripada Pakistan dan India seperti roti naan dan tandoori. 

Jika anda boleh dan biasa makan sushi, Onigiri boleh dibeli di kedai -kedai seperti Family Mart. Cuma anda kena pastikan beli Onigiri tuna saja. Lagi menjimatkan kalau anda bawa periuk dan masak sendiri.

Klik sini untuk Tips Cari Makan di Jepun




Ini ialah Masjid Itaewon yang terletak tidak jauh dari stesen tren. Masjid ini senibinanya kalau diteliti memang cantik. 

Senibina dalaman masjid ini cukup sinonim dengan senibina dalaman Masjid Kobe di Jepun, cuma ianya lebih besar. 

Di sebelah masjid ini terdapat makam Prince Sultan Islamic.

4. Insadong


Beralih dari Itaewon, kita ke kawasan membeli-belah seterusnya iaitu Insadong. Tempat ini menarik, kemas, bersih dan paling teratur antara semua tempat-tempat yang telah penulis sebut di atas. 

Paling mudah untuk sampai ke sini ialah dengan menggunakan tren dan hanya perlu berjalan kaki selama 5 minit dari stesen tren. Kawasan Insadong ini dihias cantik kerana ia menjadi kawasan kegemaran rakyat asing yang menetap di Seoul. 

Di situ terdapat banyak barangan cenderahati, kedai teh, kafe yang moden dan kuih-muih tradisional Korea. Cuma kalau dibezakan dengan Namdaemun, di Insadong ada sesetengah harga barangan yang lebih mahal.



Masyarakat di Seoul rata-rata gemar berpakaian kemas dan mengikut trend semasa, tak kira tua ataupun muda. Oleh kerana itu kalau ditinjau di Seoul memang banyak iklan pembedahan plastik di sana sini. 

Mereka yang tinggal di Seoul kebanyakannya sudah boleh bertutur di dalam Bahasa Inggeris, jadi mudah nak berkomunikasi dengan pelancong asing.

Jika anda berhasrat untuk menerokai Seoul tanpa pakej pelancongan memang sangat mudah kerana pengangkutan awam di bandaraya Seoul sangat efisien. 

Anda yang berada di Kuala Lumpur, bolehlah singgah di Wisma Hup Seng di Jalan Sultan Ismail untuk mendapatkan peta dan buku rujukan pelancongan dari KTO (Korea Tourism Organization).


Annyeong!

Comments

Popular posts from this blog

An interview with my Italian friend on Italy lockdown「イタリアのロックダウン: イタリア人の友達とインタビュー]

Sales 12.12 Ebook Content untuk membantu anda membina crowd

11.11 Sales Combo E-book Content!