Catatan kembara sehari sang pejalan kaki.


Waktu itu saya masih bergelar mahasiswi di Kuantan. Satu hari saya bertemu sahabat lama di kampus Gombak. Perbualan mengenai kehidupan dan aktiviti semasa. Lantas saya dijemput untuk berkolaborasi mengadakan program ke kampung orang asli. Ini sesuatu yang baru bagi kami di kampus Kuantan. Berminat, saya terus bersetuju untuk menyiapkan proposal untuk memohon bajet program. Bermulalah episod kolaborasi Kuantan-Gombak untuk program Comrade.

Seingat saya team kami dari Kuantan dalam 12- 16 orang. Kami hanya menggunakan telefon dan emel untuk berhubung. Dua hari sebelum program, mesyuarat bersama diadakan.

Kata encik presiden, kami akan berjalan kaki selama 4 jam untuk masuk ke kampung orang asli. Hanya komiti masakan dan mereka yang kurang sihat digalakkan naik lori (ranger truck JOA) untuk masuk.

4 jam?
Boleh tahan. Ayuh sahut cabaran!



Kg. Teji, Cameron Highland

Itu lokasi kami. Misi kami adalah untuk berkongsi ilmu disamping beramah mesra dengan penduduk kampung. Rata-rata ramai di antara mereka yang Muslim.
                 
★★★★★

9 pagi.
Cuaca cerah. Kami beramai-ramai memulakan langkah dengan semangat waja. Pertama kali masuk kampung orang asli. Teruja. Sambil berborak dengan sahabat-sahabat lama. Ada saja cerita yang dikongsi. Kumpulan yang besar awal tadi telah berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil seramai 6-8 orang.

Ada yang baru berkenalan. Sambil taaruf sambil mengorak langkah. Bila penat, berhenti seketika untuk minum dan makan. Sambung lagi berjalan.
          
★★★★★

12 tengahari.
Matahari mulai terik.
'Takpe, lagi satu jam.' Masing- masing memberi kata semangat.

2 petang.
Ni dah lepas 4 jam berjalan.
Lambat lagi ke?

Encik presiden hanya tersengih. 'Sikit lagi ni,' katanya. Kami mengangguk. Pasrah.

Hujan renyai mulai turun. Langkah kami makin laju. Mencari surau atau sekadarnya jika ada tempat berteduh.

Hujan makin lebat. Tak sempat nak sampai kampung. Keadaan jalan tanah merah akan jadi licin dan berbahaya. Kami bersepakat berteduh di dalam beberapa biji gelungan simen besar yang kebetulan ada di sana. Mungkin bakal digunakan membina parit dan jalan raya.

                               ★★★★★
4 petang.
Hujan reda.
Langkah diteruskan lagi.

Mencari tempat untuk solat. Langit mendung kerana awan gelap belum beredar.

Kami ada dua pilihan: teruskan berjalan kaki atau telefon ranger dan minta pengangkutan datang jemput.

Sudah 7 jam berjalan kaki. Belum sampai. Lagi berapa lama kah?
"Menyesal ke ikut?" Tanya rakan saya, Husni.

Penat tu pasti. Menyesal tu tak. Cuma risau kegelapan malam yang bakal menyusul. Entah cukup tegarkah diri untuk melangkah di dalam kegelapan. Sambil berdoa dalam hati semoga tak bertemu sang makhluk ghaib ataupun pemangsa. Haha. Imaginasi bukan-bukan harus dihentikan.

Selesai kewajipan solat, kami teruskan perjalanan. Jalan licin, langkah harus berhati-hati. Tak ada yang merungut sewaktu berjalan. Alhamdulillah. Selaku wakil dari kampus Kuantan, saya bersyukur rakan-rakan tak memberi masalah. Perjalanan turut dipermudahkan.

Di dalam kegelapan malam, berbekalkan lampu suluh dan telefon bimbit, kami bergerak menuju Kg. Teji.

★★★★★

8.30 malam.
Mula nampak cahaya dari rumah-rumah di hadapan. Kami dah nak sampai!

Lega!

Hampir 9 malam kami tiba di dewan. Berkumpul. Rehatkan badan, bersihkan diri, solat dan kemudian makan. Lepas makan dimulakan sesi taaruf dan penerangan program serta pembahagian mahasiswa-mahasiswi kepada kumpulan rumah angkat masing-masing.


Gambar ihsan dari FB page Comrade UIA (dengan izin)

Seronok melihat kehidupan aman damai masyarakat kampung. Riangnya wajah mereka saat kami bertamu di sana. Betapa kehadiran kami sangat dialu-alukan. Kami belajar adat resam, budaya dan pantang larang sebelum ke sana, agar tidak tersilap langkah, kerana mereka masih utuh berpegang pada adat.


Gambar ihsan dari FB page Comrade UIA (dengan izin)

Rumah buluh seperti dalam gambar di atas, dibina sendiri oleh orang kampung. Mengikut kata ayah angkat, bila seorang lelaki itu ingin bernikah, maka dia wajib membina sendiri rumah. Dah siap rumah, baru boleh meminang si cinta hati. Rumah mereka simple je. Ada satu bilik, ruang tamu dan dapur. Di ruang tamu ada televisyen dan sistem karaoke. Hanya rumah penghulu kampung dipasangkan Astro. Jadi di situ tempat mereka berkumpul untuk menonton Astro.

Sistem air telah dipasang oleh kerajaan. Air yang dipam terus dari sungai ditapis sebelum disalurkan ke paip-paip rumah. Airnya sangatlah sejuk!

Begitu jauh ke pedalaman kampung orang asli ni, jauh dari hiruk-pikuk kota, amat susah untuk mereka keluar jika tiada motorsikal. Jalan raya yang teruk tak membolehkan kereta biasa untuk masuk. Seminggu pasti ada 2-3 kali penjual barangan runcit masuk ke dalam menggunakan lori kecil.

Orang kampung masih bercucuk tanam dan menternak ikan dan ayam, kalau nak makan yang segar, petik je di tepi rumah. Dan mereka masih mempunyai kemahiran-kemahiran unik seperti panjat pokok kelapa, menyumpit dan memburu di hutan.

Perjalanan balik? Kami keluar dari kampung menggunakan trak yang mengambil masa 2 jam perjalanan tanah merah dan berbatu.

★★★★★

Alhamdulillah kami diberi peluang untuk turut serta. Satu pengalaman yang mengajar kami mengenali masyarakat orang asli, mendidik kami erti ketabahan, tidak putus asa, syukur dan persahabatan.

Dan siapa sangka, kembara 12 jam itu telah menyatukan dua hati antara sahabat baik saya dari Kuantan dan encik presiden dari Gombak. Sahabat saya yang last minute join program. Sungguh itu takdirNya!

(p/s: to my bff, bolehlah korang nak story pada anak cucu nanti. Hihi)

Setelah bergelar encik suami kepada sahabat saya, barulah encik presiden bocorkan rahsia. "Sebenarnya kami tau jalan kaki tu lebih dari 6 jam, tapi taknak lah bagitahu. Nanti tak ada yang nak jalan." Begitu rupanya.

Satu pengalaman yang takkan dilupakan!

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

An interview with my Italian friend on Italy lockdown「イタリアのロックダウン: イタリア人の友達とインタビュー]

Tips makan di Jepun

Misi Jelajah Jepun di kota lama ~ KOBE (nov 2012 day 1)