Follow me on:

Instagram

2016-01-12

Tips Kembara: 3 kesilapan berkaitan Teksi

Aku bukanlah pengembara tegar. Cuma sekali-sekala berjalan di bumi Tuhan. Di dalam perjalanan, ada banyak perkara dilalui dan dipelajari.

Antaranya terdapat kesilapan yang pernah dilakukan.

Kali ini aku bicara tentang teksi.

Ini dari pengalaman aku sendiri. Mungkin boleh dijadikan iktibar dan peringatan buat diri sendiri yang adakalanya lupa. (Harap tak lupa diri je. Huhu)

Lupa tanya guna meter tak!

Ada satu kali tu aku turun KL Sentral dari KLIA. Waktu tu pukul 4.30 petang, hari bekerja.

Aku tengok barisan orang beratur untuk teksi kupon sangatlah panjang. Aku malas nak beratur panjang, aku putuskan untuk naik ke atas, tahan je teksi yang ada.

Aku pun naik escalator tu ke tingkat atas. Di pintu luar berhadapan Hotel Hilton selalunya ada teksi. Aku tunggu sekejap. Tak lama lepas tu ada teksi berhenti.

Aku pun buka pintu, tanya dia, "Nak pergi Titiwangsa, pergi tak?"

Dia pun angguk ok dan suruh masuk. Aku pun masuklah. Lepas tu dia kata, "Tapi saya caj rm30 tau dik."

Eh, eh le! Mahainya weh! Dalam hati aku.

"Encik tak pakai meter ke?" Tanya aku. Luar teksi memang ada tulis teksi bermeter.

"Mana pakai meter. Sekarang waktu macam ni, jalan jem memang takde orang pakai meter. Sebab tu saya caj RM30." Dia kata.

"Mahalnya RM30, saya selalu kena RM15-20 je paling mahal." Aku bantah.

Tapi, teksi masa tu dah bergerak pun waktu aku naik dan tutup pintu. Aku pun tak banyak cakap lah. Mau kena campak tepi jalan mana pula nanti.

Silap aku: naik dulu tanpa tanya guna meter ke tak. 
Silap lagi besar: sebab tak beli kupon teksi yang dah tentu harga tetap.

Pakcik teksi tu bawa jalan shortcut yang lalu entah celah mana, bukit bintang bagai dia lalu. Aku on GPS map tengok laluan.

Dalam hati aku membebel sorang-sorang, berdoa semoga selamat je, dan padan muka aku!

Takda duit kecil lah!

Ni waktu aku pergi Taiwan dengan adik aku.

Kami ambil teksi dari Taipei 101 pergi Maokong. Maokong tu satu kawasan tanah tinggi, terkenal dengan gondola.

Waktu dari Taipei 101 dah pukul empat petang. Kami putuskan naik teksi sebab nak kejar masa sebelum gelap. Naik teksi 45 minit. Naik tren pasti lebih lama.

Teksi di Taipei memang semua guna meter. Sekurang-kurangnya anggaran harga teksi tu kita dah tahu.

Kami melalui kawasan luar bandar dan lebuhraya untuk sampai ke Maokong. Lepas tu masuk perkampungan dan bandar kecil sebelum naik ke lereng bukit dan sampai di puncak Maokong di mana terletaknya gondola.

Kami dah sampai.

Meter tertera NT$670. Aku bagi NT$1000. Tak ada duit kecil dah. Pakcik teksi tu ambil. Lepas tu pulangkan baki. Aku kira baki aku tak cukup NT$130. Aku tanya dia.

"Dia cakap dahlah tu, cukup dah." (B.Inggeris campur cina). Aku bantah.

Ingat aku tak reti kira? Adik aku pun bising sama. Minta baki lagi.

Di luar pintu ada sorang minah saleh tengah tunggu, nak naik teksi. Atas tu agak susah nak ambil teksi kot. Sebab tak nampak teksi lain.

Pakcik tu berkeras tak nak bagi. Aku pun malas nak gaduh lebih-lebih, aku dan adik pun turun.

Aku cakap pada minah saleh tu, "Careful, he charge extra."

Dia mengangguk faham. Lepas tu dia mula nego dengan pakcik teksi. Aku dan adik melangkah ke mesin beli tiket gondola.

Kesilapan aku: Tak ada duit kecil untuk bayar. Lebih mudah bagi exact change kan? Untuk elak kena tipu macam tu di masa depan. Duit kecil juga penting bila naik bas!

Elakkan teksi sapu!

Ni cerita di Taipei juga. Dari airport ke hotel, aku dah survey rate teksi berdaftar minimum NT$1500 hingga NT$2200.

Tengah kami berjalan ke arah booth teksi, ada seorang lelaki memakai baju kemeja datang mendekati kami.

"You want taxi?" Dia bertanya.

Kami pandang dia. "Yes, taxi." Kata rakanku.

"Ok please follow me. Which hotel?"

Kami beritahu nama hotel, dan tanya berapa. "NT$1300," katanya.

Dalam hati aku, ok murah. Aku agak dia ni pemandu teksi yang di luar tu. Awal tadi kami dah survey waktu pergi Leofoo.

Kami pun ikut dia. Lelaki tadi tengah bercakap telefon. Lepas tu patah balik dan kata, "No, please wait here." 

Eh, tadi suruh ikut pergi kiri, sekarang suruh tunggu di kanan pula.

Kejap je lepas tu, sebiji kereta datang di luar. Lelaki tu cepat-cepat suruh kami pergi naik.

Lelaki yang memandu kereta tu turun dan bantu masukkan beg ke dalam kereta. Lepas tu cepat-cepat masuk ke tempat pemandu. Kami bertiga dah masuk, tak sempat kawan aku nak tutup pintu kereta, dia dah gerak.

"Eh, mamat ni. Sabar sikit boleh tak?" Kami bercakap sesama sendiri. Tak sempat nak tutup pintu kot!

Lelaki tu bawa laju keluar airport. Keluar je simpang airport dia berhenti di tengah pembahagi jalan dan tanya, "Where are you going?" 

Eh, eh le! Baru nak tanya ke kome ni.

"Kita ni kalau kena culik pun mana kita tau ni. Ni teksi sapu la gaya macam ni." Kata rakanku.

Dush! Ada betulnya kata dia. Teksi biasa boleh mengundang bahaya kena culik, apatah lagi teksi sapu.

Aku on GPS map. Tengok jalan betul ke tak. Risau juga. Huhu

Itulah kesilapan besar kami hari tu. Lesson learned. Walau murah macam mana pun lepas ni, kami takkan naik teksi sapu.

Aku lebih gemar naik tren dan bas sebenarnya. Lebih ramai orang dalam tu. Teksi sangat personal, aku kurang gemar. Risiko lebih tinggi, dan lebih mahal caj.

Tapi rakanku bukan jenis backpacker jadi aku kena ikut naik teksi. Lagipula kami bertiga dan beg dia besar.

So akhir kalam, elakkan teksi sapu. Di Malaysia pun jangan buat ok!

Kalau korang ada tips menarik, boleh kongsi juga!


Masih sedang belajar tentang kembara,
Yusraa Ksm.
2016.01.12



No comments:

Post a Comment